Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kasa ( 1938 - Kini )
Tuan Guru Haji Abdul Ghani Bin Haji Kasa dilahirkan pada 2 Oktober 1938. Bapa beliau Haji Kasa Bin Jusoh dan ibunya bernama Hajah Zainab Binti Mat adalah merupakan susur galur daripada keturunan Nai Koya Fai.
Beliau mendapat pendidikan awalnya di sekolah umum Bukit Raya Luar yang bertempat di masjid lama Kubang Jelai sekarang ini. Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di Pondok Tuan Guru Haji Zakaria selama beberapa tahun sebelum berangkat ke Mekah sekitar tahun 1950an.
Di Mekah, beliau memasuki Madrasah Darul Ulum. Selepas itu Tuan Guru memasuki Madrasah al-Falah pula. Pada sebelah petang hingga malam, beliau menadah kitab dengan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dan Syeikh Abdul Karim Banjar.
Gurunya, Syeikh Abdul Karim Banjar pernah meminta beliau minum air zam-zam dari bekas mulutnya sendiri untuk tujuan keberkatan.
Ketika di Madrasah al-Falah, beliau berjaya memperoleh tempat ketiga bagi keseluruhan kelas yang pelajarnya terdiri dari bukan Arab dan warga Arab. Syeikh Sayyid Muhammad Alawi Maliki juga belajar bersama beliau ketika itu dan menduduki tempat ke enam.
Selepas 4 tahun di Mekah, beliau pulang ke tanah air dan menduduki peperiksaan Syahadah Nihaiyyah di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang dan Alhamdulillah, takdir Allah beliau lulus di tempat pertama.
Pada tahun 1963, beliau telah menduduki ujian tahriri dan syafawi bersama dengan 500 orang calon yang lain yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Hasil keberkatan pengajian beliau dengan guru-gurunya selama ini sekali lagi beliau telah berjaya menempatkan diri di tempat yang ke 6 daripada 10 pelajar lain. Kesepuluh pelajar ini ditawarkan biasiswa kerajaan Iraq dengan kerjasama Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan Tuan Guru menyambung pengajiannya di Universiti Baghdad pada tahun 1964. Berikut adalah 10 orang pelajar Malaysia termasuk Tuan Guru Haji Abdul Ghani yang berjaya dalam ujian tersebut:
1. Ustaz Dahlan Bin Muhammada Zain (bekas Pengerusi ABIM Perlis)
2. Ustaz Abdul Rahim Bin Muhammad Zain (Bekas Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya)
3. Tuan Guru Haji Muhammad Daud Iraqi (Bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan)
4. Ustaz Hasbullah Kasban (Bekas pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Malaysia)
5. Ustaz Isamuddin Bin Haji Ahmad (Bekas ahli perniagaan dan abang kepada mantan Datuk Mufti negeri Kedah Syeikh Badruddin Haji Ahmad)
6. Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kasa
7. Ustaz Abdul Halim Bin Yahya (Bekas pegawai agama di ibu pejabat Felda)
8. Tuan Guru Haji Hassan Shukri (Bekas Naib Presiden Parti PAS)
9. Tuan Guru Hashim Jasin (Mursyidul Am parti PAS sekarang ini)
10. Syeikh Azmi Bin Haji Ahmad (Bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang)
Diantara gurunya ialah :
1. Tuan Guru Haji Zakaria
2. Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani
3. Syeikh Yusuf Indunisi
4. Syeikh Hasan Jakarta
5. Syeikh Ridwan Madrasah al-Falah
6. Syeikh Alawi al-Maliki
7. Syeikh Sayyid Arabi
8. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili
9. Syeikh Abdul Karim Banjar
10. Syeikh Abdul Karim Zaidan
11. Syeikh Muhammad Mahmud Assawaf - Pengasas Ikhwan Iraq
12. Syeikh Amjad al-Zahawi
Setelah pulang ke tanah air, Tuan Guru Haji Abdul Ghani berkhidmat di madrasah bapa mentuanya iaitu Tuan Guru Haji Haron Bin Haji Ali di Kampung Kuar Jawa, Jerlun, Kedah. Madrasah tersebut dikenali dengan Madrasasah Tarbiyyatul Atfal.
Selepas beberapa ketika beliau di tawarkan pula menjadi guru di Pondok Kubur Panjang. Selepas itu beliau dilantik menjadi guru Majlis Agama Islam negeri Kedah dan ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Raudhatul Ulum, Langgar yang kini dikenali sebagai Maktab Mahmud cawangan Pokok Sena.
Pada tahun 1970an beliau telah ditawarkan oleh Tan Sri Dato’ Senu Bin Abdul Rahman iaitu bekas Menteri Penerangan dan juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk mengajar di Sekolah Menengah Chemor, Perak disamping mengikuti sijil kursus perguruan. Kemudian beliau bertukar ke sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Nibong Tebal sebelum berkhidmat di negeri kelahiran beliau di Kedah.
Di Kedah beliau telah berkhidmat di Sekolah Menengah Sultanah Asma, Sekolah Menengah Pokok Sena 2 dan Sekolah Menengah Tajar sebelum berpencen. Namun kerana keaktifan beliau di peringkat sekolah, ppd dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah terutama dalam bidang seni dakwah nasyid beliau ditawarkan kontrak selama 2 tahun untuk berkhidmat semula di Sekolah Menengah Jabi.
Beliau banyak menghasilkan lirik-lirik nasyid yang berkualiti sehingga biasa membawa pasukan sekolahnya hingga ke peringkat kebangsaan dan pernah menaikkan nama negeri Kedah sebagai Johan kebangsaan sekitar tahun awal 90an. Beliau juga turut diminta untuk menghasilkan lirik-lirik nasyid bagi Majlis tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang julung kalinya diadakan di negeri Kedah pada tahun 90an.
Beliau juga sangat aktif menulis dan banyak menghasilkan pelbagai artikel ilmiah berkaitan akidah, syariah dan akhlak untuk bacaan murid dan guru di sekolah-sekolah yang pernah beliau berkhidmat. Beliau juga menulis 4 buah buku yang ada daripadanya pernah di terbitkan. Antara hasil penulisan buku beliau ialah :
1. Lambaian Kaabah
2. Risalah Ilmu Tauhid
3. Siri Nama anak Lelaki dan Perempuan dalam Islam
4. Doa Ma’thur daripada al-Quran dan Hadis
5. Motivasi Pelajar
Beliau juga adalah bekas guru takmir yang aktif mengajar di masjid dan surau termasuk di kediaman beliau sendiri di Kampung Jelai, Tokai. Antara Kitab yang diajar beliau ialah Tafsir Nur Ihsan dan ilmu fekah.
Moga Allah Taala memberikan kesihatan yang baik kepada Tuan Guru Haji Abdul Ghani. Amin
*Sumber - Catitan Ustaz Ashraf Bin Haji Abdul Ghani ( Anakanda Tuan Guru )
#KenaliUlamak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan